Assalamualaikum.
Saya pulang ke Perak dan bertemu seorang hamba Allah yang juga merupakan kawan saya. Beliau merupakan kontraktor yang banyak mendapat kontrak dari kerajaan.
Katanya beliau ada bertemu seorang rakannya berbangsa Cina yang mempunyai rumah burung 3 tingkat. Katanya, rakannya itu membina rumah burung tersebut dengan harga RM 500 ribu. Suara burung pula dibeli dengan harga RM 30 ribu. Terkejut juga saya mendengarkan harganya. Sambungnya lagi, rumah tersebut sudah 3 tahun beroperasi namun seekor burung pun belum masuk ke dalamnya.
Pada fikiran saya pasti ada yang tidak kena dalam pembinaannya. Mungkin kerana dalamannya yang tidak sesuai atau mungkin arah pintu masuk yang tidak betul. Terdapat pelbagai kemungkinan yang mungkin ada di sebalik kegagalannya.
Namun ada juga rumah burung yang dibina dengan baik sekali namun gagal memanggil burung untuk masuk dan tidur serta bersarang di dalamnya. Kerana itulah sebagai orang Islam kita perlulah mengadakan majlis doa selamat. Kita memohon kepada Allah swt semoga rumah burung kita diberikan rezeki yang baik. Berdoalah agar rezeki kita dimudahkan, dilipat gandakan, melimpah ruah sehingga ke anak cucu.
Ada sesetengah pendapat Ulamak yang menyeru kita jangan berdoa "Murah Rezeki" kerana murah rezeki ini bermaksud rezeki kita yang sedikit. Tetapi kita berdoalah "Dimudahkan Rezeki" yang mana kita memohon Allah swt memudahkan segala urusan berkaitan rezeki agar masuk ke dalam kehidupan kita walau bagaimana susahnya pun urusan rezeki tersebut. Secara peribadinya saya mengamalkan bacaan Mudahkan Rezeki. Namun apapun urusan kita ini baik dari segi rezeki, kehidupan dan lain-lain adalah hak mutlak Allah swt. Kerana itu dalam perniagaan rumah burung ini kami tidak berani menjanjikan seratus peratus kejayaan, tetapi insyaAllah kami akan lakukan yang terbaik dan Allah swt menjadi saksi di atas segala pekerjaan kami. Semoga Allah swt menjanjikan kemenangan ke atas kita semua apatah lagi kita semua berniat segalanya kerana Allah swt semata-mata.
Wallahualam
Zahirudin Salehuddin
Pengarah Urusan MECTTEN BIRDNEST INDUSTRY SDN BHD