NIATKAN

SARANG BURUNG WALIT

Mutiara Hadis dan Al-Quran

Zaid bin Thabit melaporkan,

“Sesiapa menjadikan dunia itu sebagai puncak tujuan, maka Allah akan cerai-beraikan urusannya. Allah akan jadikan kefakiran itu ada di depan dua matanya. Dan dunia itu tidak akan datang kepada, melainkan apa yang Allah tuliskan. Dan siapa menjadikan akhirat sebagai tujuan. Allah akan satukan urusannya. Dan Allah akan jadikan kecukupan di hatinya. Dan dunia itu akan datang kepadanya walaupun dia tidak mengharapkan.”

Hadith Sahih : Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Darimi dan Baihaqi





Dari Abu Khalid (Hakim) bin hizam r.a. berkata, Rasulullah saw bersabda , Penjual dan pembeli keduanya bebas belum terikat selagi mereka belum berpisah maka jika benar dan jelas keduanya, diberkahi jual beli itu tetapi jika menyembunyikan dan berdusta maka terhapus berkah jual beli itu."
(Bukhari - Muslim)




Dari Sa'ad bin Abi Waqqash r.a. berkata: Rasulullah saw menengokku pada haji wada' dari
cekaman suatu penyakit yang hampir saja merenggut nyawaku lalu aku berkata, "Ya
Rasulullah, sebagaimana engkau lihat, penyakitku ini cukup berat sedangkan aku adalah orang
yang berharta dan tidak ada ahli warisku kecuali seorang anak perempuanku. Bolehkah aku
bersedekah dengan dua pertiga dari hartaku?" Rasulullah saw menjawab, "Jangan" Aku
berkata, "Bagaimana kalau separuhnya?" Rasulullah menjawab, "Jangan, sepertiga saja dan
sepertiga pun sudah cukup banyak. Sesungguhnya jika eangkau tinggalkan ahli warismu dalam
keadaan kaya raya adalah lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan
kekurangan meminta-minta kepada manusia. Dan tidaklah engkau mengeluarkan suatu
pembelanjaan dengan menuntut keridhaan Allah melainkan engkau akan diberi pahala
karenanya hingga sesuap makanan yang engkau suapkan ke mulut istrimu."

(Bukhari - Muslim)

Isnin, 30 Ogos 2010

HARGA RUMAH WALIT YANG BELUM DAN SUDAH DIBINA

CONTOH RUPABENTUK RUMAH BURUNG WALIT 3 TINGKAT YANG DIBINA OLEH MECTEN

Assalamualaikum

Baru sahaja terbaca satu iklan rumah burung yang baru dibina dan ingin dijual. 3 tingkat dengan keluasan 25 kaki x 75 kaki x 3 tingkat. Harganya RM 450ribu. Belum ada sarang. Tanah pula disewa dengan tuan tanah RM5200 setahun. Lokasi Sarawak.

Hmmm. Saya termenung seketika. Harga kami hanyalah RM 350 ribu untuk saiz 20 kaki x 80 kaki x 3 tingkat. Dan selalunya dibina atas tanah owner sendiri. Namun itulah hakikatnya harga rumah burung di Malaysia. Sebelum dan sesudah dibina harganya berbeza. Jangan terkejut jika anda mempunyai sebuah rumah burung dan mempunyai sarang di dalamnya, ada yang sanggup beli 1 juta ke atas.

Begitulah rumitnya memahami kehendak pembeli-pembeli ini. Hanya yang sudah berada di dalam industri ini yang akan mengetahui dan menyedari betapa ruginya kita yang buat-buat tak tahu atau tak mahu mengambil tahu.


Ahmad Rithauddin
Business Development Director MECTEN GROUP

Rabu, 25 Ogos 2010

MENGATASI RUMAH BURUNG YANG BERMASALAH

Keadaan dalaman yang selesa dan cukup besar adalah sangat penting. Begitu juga suhu yang sesuai amatlah diperlukan bagi penghasilan sarang yang berkualiti.

Kesan najis burung begini adalah petanda bahawa burung sudah mula tidur dan menjadikan rumah tersebut rumah mereka sehingga mereka mati.


Sarang burung yang mula kelihatan di rumah burung Teluk Intan.


Assalamualaikum

Rumah burung di Malaysia sudah mencecah 46 ribu buah. Tidak dapat saya nak memastikan adakah ianya satu jumlah yang tepat. Di Setiawan pula dikatakan terdapat 800 buah rumah burung. Di situlah tempat pusat rumah burung paling besar di Malaysia. Disebabkan jumlah rumah burung yang banyak telah menyebabkan begitu banyak burung walit membiak.


Maka tidaklah menghairankan kita jika di Perak Tengah seperti Bota, Parit, Layang-Layang, Kg Gajah dan yang berhampiran dengannya jumlah burung walit cukup banyak. Namun burung walit yang banyak belum tentu menjanjikan rumah burung yang dibina akan dimasuki burung walit jika pembinaannya tidak betul.


Baru-baru ini saya bertemu beberapa pengusaha rumah burung walit yang mana mengakui rumah burung mereka tidak dimasuki burung walaupun dibina 3 ke 5 tingkat tingginya. Malah ada pengusaha rumah burung walit ini sudah menunggu sehingga 6 ke 7 tahun. MasyaAllah. Berat sungguh bebanan dan cubaan yang mereka terima.


Namun begitu kami bersyukur ke hadrat Allah rumah burung yang dibina oleh kami walaupun baru mencecah beberapa bulan sudah ada burung yang tidur walaupun hanya setingkat. Terdapat beberapa perkara yang boleh kita ambil tahu jika rumah burung tidak dimasuki burung walit. Kita perlu ketahui satu petua yang mudah untuk melihat rumah burung yang dibina betul atau tidak iaitu jika dalam tempoh 6 bulan belum ada tanda burung walit sudah tidur di dalamnya maka rumah burung tersebut terdapat kesilapan di dalam pembinaannya.


Antara kesilapan yang berlaku ialah:

1) Keadaan dalaman yang tidak selesa bagi burung untuk terbang dan berpusing-pusing di dalamnya. Saiz minima yang sesuai bagi rumah burung ini ialah 20 kaki x 60 kaki. Jika saiz dibuat kecl dari ukuran ini, risiko untuk gagal cukup tinggi.

2) Keadaan suhu puncak sejuk dan puncak panas. Puncak sejuk perlulah sekitar 26 darjah celcius dan puncak panas perlulah tidak melebihi 30 darjah (+-2darjah).

3) Kesesuaian suara burung yang dipasang perlulah sesuai. Suara burung yang menekan dan tidak natural hanya akan menghalau burung-burung dari menghampiri rumah burung. Jangan beli suara burung yang terlalu murah. Biasanya suara burung yang baik berharga sekitar RM 500 ke 1500 satu suara.

4) Pemangsa yang berada di luar dan di dalam rumah seperti burung hantu, tikus, cicak, biawak, lipas dan lain-lain.


5) Kecerahan yang tinggi di dalam rumah burung.


6) Pintu masuk yang tidak betul seperti arah yang salah, sudut terjunan yang tidak menepati darjah terbangan burung-burung tersebut.

7) Tiada bau yang sesuai untuk menarik burung-burung ini untuk memberitahu kepada mereka rumah tersebut kononnya sudah dihuni koloni mereka.


8) Papan untuk mereka bergayut dan mencangkuk tidak sesuai.


9) Kekerapan keluar masuk orang di dalamnya.

Dan banyak lagi untuk diperbincangkan. Kerana itulah apabila sesebuah rumah yang silap dibina akan mengundang kerugian dan kos baik pulih jika ingin dilakukan oleh orang-orang yang pakar agak mahal. Namun jika tidak di baik pulih pengusaha akan lebih rugi. Pesanan kami berhati-hati dengan mereka yang mengaku pakar. Pastikan dahulu latar belakang mereka. Ada juga kontraktor yang mengaku buat sendiri tetapi apabila diberi peluang kerja, mereka akan beri pula pada "pakar yang sebenar". Akhirnya jika rumah burung yang dibina tidak dimasuki burung mereka-mereka ini tidak mahu bertanggungjawab. Bukan kerana mereka tidak mahu, tetapi kerana mereka tidak tahu.



Zahirudin Salehuddin

Pengarah Urusan Mecten

Selasa, 24 Ogos 2010

Pendapatan bagi sebuah rumah burung walit


Assalamualaikum


Terdapat beberapa jenis rumah burung walit. Ianya berbeza dari segi saiz dan ketinggian. Secara mudahnya untuk kita mengetahui berapakah sarang burung yang boleh dihasilkan bagi sesebuah rumah burung ialah dengan mengetahui saiznya.


Berikut ialah maklumatnya:


Rumah setingkat bersaiz 20kaki x 80kaki akan menghasilkan 10kg sarang burung bagi setiap bulan apabila ianya mencecah tahap maksimum pada tahun ke 5 (pada kebiasaannya).


Jika kita mempunyai bangunan 2 tingkat dengan keluasan yang sama bererti ianya boleh memberikan pulangan sarang burung 20kg setiap bulan.


Begitulah pengiraan seterusnya bagi rumah burung yang dibina 3 hingga 4 tingkat.


Bagi saya, kita tidak perlu memikirkan jumlah yang terlalu tinggi. Untuk sebuah rumah setingkat, cukuplah jika ianya memulangkan 5kg sarang setiap bulan. Katalah harga sarang pada RM 4000, maka pendapatan sebuah rumah akan mencecah RM 20 ribu bagi bulan tersebut.


Saya ada mendengar dari seorang sifu rumah burung terdapat rumah pelanggannya di Perak menghasilkan 2kg sarang setiap hari. Saya sendiri tidak melihat rumah tersebut cuma diceritakan oleh sifu tersebut.


Kerana itulah saya sering mengatakan tempoh maksimum bagi rumah burung adalah dalam masa 5 tahun. Namun tidak mustahil dengan kuasa Allah, rumah yang dibina boleh mencapai tahap maksimum dalam 3 tahun sahaja bahkan mungkin dalam 2 tahun. Segalanya berkemungkinan. Dengan usaha yang betul, kita berdoa dan bertawakkal. Tiada yang mustahil jika Allah berkehendakkan. InsyaAllah.


Zahirudin Salehuddin

Pengarah Urusan Mecten

Isnin, 23 Ogos 2010

RAMADHAN - Bantulah bagi yang memerlukan




Assalamualaikum
Saya sempat ke bazar ramadhan di Bandar Seri Putra, Bangi. Meriah sungguh suasana. Begitu ramai penjual dan pembeli. Alhamdulillah. Itu petanda bahawasanya masyarakat kita masih lagi mempunyai buying power yang baik.
Dalam pada saya berjalan-jalan di Bazar, mata tertumpu kepada insan-insan yang kurang bernasib baik. Mereka meminta belas kasihan dan ihsan kita agar menderma. Sebagai hamba Allah, kita perlulah membantu mereka tanpa ada perasaan was-was atau bersangka buruk. Berilah bantuan seadanya. Hanya Allah jua tempat untuk kita berpaut. Samada peminta sedekah ini menipu atau tidak, ianya bukanlah urusan kita. Kita hanya membantu berdasarkan pandangan zahirnya.
Saya juga berdoa ke hadrat Allah agar projek walit yang kita buat ini bakal memberikan hasil yang lumayan. Terlalu banyak yang ingin kita bentuk dan bina terutamanya dari segi ekonomi. Dengan kekuatan ekonomi ummah, insyaAllah kita mampu membantu sesama kita malahan mampu pula untuk membentuk ummat Islam yang kuat dan berkuasa. InsyaAllah. Jika diberi hidayah dan kita boleh bersatu tanpa ada pra sangka yang buruk, kita boleh menjadi pemangkin umat Islam yang ingin berubah.
Zahirudin Salehuddin
Pnegarah Urusan MECTEN GROUP

Khamis, 19 Ogos 2010

Burung Walit di Pahang

Pemandangan indah yang sempat dirakamkan.

Gambar burung-burung yang datang berterbangan berhampiran kereta kami


Ujian suara ini hanya kami jalankan hampir jam 12 tengahari. Selalunya waktu tengahari burung-burung walit akan terbang tinggi di awan namun alhamdulillah dengan izin Allah burung-burung walit hampir 20 ekor datang dan terbang di atas kepala kami walaupun bunyi dipasang tidak sampai 10 minit. Alhamdulillah ya Allah.



Assalamualaikum

Kami baru sahaja pulang dari Pahang. Kami ke sana semenjak hari Rabu untuk berjumpa beberapa client termasuk jemputan dari wakil PAS Pahang, Tuan Haji Yunus. Terima kasih di atas sokongan dan permintaan yang cukup baik kami terima setakat ini.
Terima kasih juga kepada EnciK Jaafar dan Encik Zarif kerana berminat untuk
membina sebuah rumah burung di atas tanah mereka sendiri.


Terdapat beberapa lagi temujanji yang terpaksa kami tunda kerana kami terpaksa pulang awal sehari dari jadual kerana ada urusan penting yang terpaksa kami lakukan.


Sekali kami ucapkan jutaan terima kasih kepada semua. Jazakallah


Zahirudin Salehuddin
Pengarah Urusan Mecten Group

Ahad, 15 Ogos 2010

Walit Anugerah Allah Dari Langit






Assalamualaikum


Selamat menyambut Ramadhan al Mubarak. Petang tadi saya sempat singgah ke rumah burung Nilai bagi menukar suara. Suara perlu ditukar apabila kita melihat terdapat koloni-koloni burung yang baru yang terbang tetapi masih ragu-ragu untuk masuk ke rumah burung kita. Alhamdulillah, sewaktu masuk jam 3.30 tadi kelihatan burung-burung walit sedang terbang mundar-mandir di dalamnya.

Walit atau walet dalam panggilan bahasa indonesianya, merupakan anugerah dari Allah swt kepada kita. Di Malaysia burung walit ini begitu banyak di persekitaran kita. Cuma kita tidak sedar kehadirannya. Ianya hanya ada di Asia Tenggara. Seperti semua sedia maklum di Indonesia ianya tidak lagi sama seperti di Malaysia. Di sana industri ini sangat maju. Jika di Malaysia, kita buat pinjaman rumah untuk kita duduki, tetapi di sana kita buat pinjaman rumah tetapi untuk diduduki oleh burung-burung walit. Pelikkan? Tetapi itulah realitinya.


Pernah saya bertanya pada seorang sifu berbangsa Cina. Saya bertanya benarkah burung walit ini betul-betul boleh buat wang atau sekadar retorik semata-mata. Waktu itu saya baru-baru ingin berjinak dengan bisnes ini. Jawapannya amat mudah. Katanya jika sesuatu bisnes itu mahu dilihat menguntungkan atau tidak, cuba lihat orang-orang Cina. Jika orang-orang Cina merasakan bisnes walit ini merugikan mengapa semakin tahun bertambah semakin banyak orang Cina buat rumah burung? Ada yang menganggarkan jumlah rumah burung di Malaysia sudah pun mencapai 200 ribu buah. Malaysia masih lagi mengeluarkan 7% sarang burung bagi pasaran dunia.

Potensi pasaran, setakat ini dunia kekurangan 70% sarang burung. Ini kerana, sarang burung merupakan makanan perubatan yang diamalkan oleh orang-orang Cina. Pasaran yang diperlukan adalah datangnya dari China, Taiwan, Hong Kong, Arab, USA dan terkini Malaysia sendiri sudah mempunyai pengeluar produk kopi sarang burung, kolagen Sarang Burung, produk kecantikan dan sebagainya. Sebagai seorang Islam, seharusnya kita bersyukur dengan anugerah dari Allah ini. Tanpa perlu kita beri makan dan minum, serta ubat, mereka mampu memberikan pendapatan yang tidak dapat kita bayangkan. Tanah yang gersang dan tidak subur boleh kita bangunkan. Pendapatan yang ada dapat kita kongsikan. Cuma ianya perlukan teknik pembinaan yang betul. Jika semua yang kita lakukan ini tepat dengan caranya, insyaAllah kita akan mendapat pulangan yang sepatutnya.


Azmir Affendi

CEO MECTEN GROUP

Khamis, 5 Ogos 2010

Rahsia Rumah Burung Walit







Assalamualaikum

Rumah burung walit atau di Indonesia dikenali dengan Walet telah lama bertapak di Malaysia. Ada rumah burung walit yang sudah tertegak sejak 3 generasi yang lalu. Mengapa setelah sekian lama rumah ini tertegak di negara kita baru kini kita menyedari kehadirannya? Mengapa selama ini kita tidak menyedari burung walit ini menghasilkan sarang yang sangat bernilai tinggi?

Sebenarnya rumah burung ini digunakan untuk burung-burung walit mendiaminya. Apabila ianya sudah didiami, mereka akan mengawan di atas udara dan mula menghasilkan sarang untuk bertelur. Biasanya proses membina sarang akan dilakukan oleh sepasang burung walit jantan dan betina. Pada kebiasaannya juga terdapat 2 biji telur didalam setiap sarang yang mana pasangan ini akan mengeram telur tersebut.

Burung walit ini mempunyai kaki dan kuku yang panjang. Namun jika mereka jatuh ke muka bumi maka mereka tidak berdaya untuk terbang semula disebabkan kakinya yang lembik. Kerana itu, mereka ini hanya akan terbang berbelas jam dan akan melakukan segala aktiviti secara terbang seperti makan, minum dan mengawan. Disebabkan faktor ketahanan mereka terbang tanpa henti berbelas jam dan boleh bergerak 40 kilometer pergi dan balik walaupun dalam keadaan hujan lebat, menyebabkan masyarakat Cina mempercayai khasiat sarang burung yang diperbuat dari air liur mereka sangat tinggi dalam mengubati pelbagai penyakit seperti asma, batuk kering, penyakit kulit dan lain-lain.

Permintaan yang semakin meningkat dengan kadar pengeluaran yang sangat terhad menyebabkan harga sarang burung ini semakin meningkat dari tahun ke tahun. Perkara ini baru disedari oleh orang ramai kerana rahsia pendapatan tuan-tuan rumah burung ini mula di bongkar. Dengan kajian dari pelbagai pihak termasuk pihak kerajaan, mendapati kebanyakan tuan-tuan rumah burung ini merupakan jutawan yang 'terlalu' senyap. Siapa sangka dengan rumah burung setingkat, pendapatan terkumpul akan mencecah jutaan ringgit hanya dalam masa 5 tahun. Dengan mengeluarkan sekali sahaja modal besar, mereka mampu menjana puluhan malahan ratusan ribu sebulan tanpa perlu bersusah payah.

Perlu diingatkan juga 60% rumah burung di Malaysia gagal. Ini disebabkan oleh faktor pembinaan yang tidak betul. Ada yang cuba membinanya secara sendiri dengan membaca buku dan lain-lain. Ada yang mencuba secara kecil-kecilan. Kesilapan-kesilapan sebegini adalah punca kegagalan rumah burung tersebut. Pelbagai kes yang telah saya jumpa dan selesaikan dalam beberapa tahun ini. Ada rumah burung yang dibina sehingga 3 tingkat namun burung tetap tidak mahu masuk dan tinggal di dalamnya. Ada pula yang rumah burungnya terdapat ratusan burung walit tetapi sarangnya tidak sampai sepuluh. Pelbagai faktor yang perlu diambil kira seperti suhu, suasana dalaman, kesesuaian papan untuk bergayut, kecerahan cahaya yang masuk dan lain-lain. Rumah burung yang baik, akan didiami burung walit dalam masa 6 bulan. JIKA RUMAH BURUNG TERSEBUT TIDAK DIDIAMI DALAM MASA 6 BULAN INI MENUNJUKKAN RUMAH BURUNG TERSEBUT ADA KESILAPAN DARI PELBAGAI SEBAB YANG DISEBUTKAN TADI.

Pada masa ini harga sekilo sarang burung antara RM 3000 ke 6800 bagi yang belum dicuci. Untuk menghasilkan sekilo sarang burung memerlukan 90 hingga 120 keping sarang burung. Harga akan melambung 2 kali ganda apabila ianya siap dicuci. Selalunya pemilik rumah burung ini akan menjual sarang burung yang belum dicuci kepada orang tengah. Untuk makluman semua, di Malaysia, terdapar ramai buyer yang sentiasa bersedia membeli dari pengusaha dan membersih serta menjual ke China, Taiwan, Hong Kong, US dan negara Arab.

Oleh kerana permintaan yang banyak tetapi pengeluaran sarang yang sedikit telah menjadikan pasaran dunia kekurangan 70% untuk dipenuhi. Ianya sukar dimanipulasikan jualan serta harga dari orang tengah disebabkan sarang yang sukar didapati serta ianya boleh disimpan jika harga ang ditawarkan terlalu rendah. Pengusaha tidak perlu menjual sarang jika harga yang ditawarkan agak rendah dan boleh menyimpannya untuk satu tempoh yang lama kerana ianya tidak basi atau mempunyai expired date jika dijaga dengan baik. Lagipula belum lagi saya terjumpa kes buyer ingin beli dengan harga dibawah harga sebenarnya.

Kesimpulannya, bidang walit ini sangat baik untuk diterokai. Apatah lagi rumah burung ini mampu menghasilkan pendapatan yang sangat lumayan dan boleh diwariskan kekayaannya kepada anak cucu kita. Cuma satu pesanan bagi yang ingin menceburinya iaitu perlulah bersabar, dan berani. Inilah faktor utama semua jutawan sarang burung di Malaysia.


Zahirudin Salehuddin
Pengarah Urusan Mecten

Rabu, 4 Ogos 2010

HUBUNGI KAMI

Bagi sebarang pertanyaan sila hubungi:

En Effindi - 013 34073 23

En Fadli - 019 372 3751


Mectten Birdnest Industry Sdn. Bhd. (933283-M)
No. 42-1, Jalan Seri Putra 1/4, Bandar Seri Putra, 43000

Kajang, Selangor.
Tel: 03 2297 5379, 03 8926 4282/4303/4314
Fax : 03 8926 4271