Assalamualaikum
Terdapat beberapa jenis rumah burung walit. Ianya berbeza dari segi saiz dan ketinggian. Secara mudahnya untuk kita mengetahui berapakah sarang burung yang boleh dihasilkan bagi sesebuah rumah burung ialah dengan mengetahui saiznya.
Berikut ialah maklumatnya:
Rumah setingkat bersaiz 20kaki x 80kaki akan menghasilkan 10kg sarang burung bagi setiap bulan apabila ianya mencecah tahap maksimum pada tahun ke 5 (pada kebiasaannya).
Jika kita mempunyai bangunan 2 tingkat dengan keluasan yang sama bererti ianya boleh memberikan pulangan sarang burung 20kg setiap bulan.
Begitulah pengiraan seterusnya bagi rumah burung yang dibina 3 hingga 4 tingkat.
Bagi saya, kita tidak perlu memikirkan jumlah yang terlalu tinggi. Untuk sebuah rumah setingkat, cukuplah jika ianya memulangkan 5kg sarang setiap bulan. Katalah harga sarang pada RM 4000, maka pendapatan sebuah rumah akan mencecah RM 20 ribu bagi bulan tersebut.
Saya ada mendengar dari seorang sifu rumah burung terdapat rumah pelanggannya di Perak menghasilkan 2kg sarang setiap hari. Saya sendiri tidak melihat rumah tersebut cuma diceritakan oleh sifu tersebut.
Kerana itulah saya sering mengatakan tempoh maksimum bagi rumah burung adalah dalam masa 5 tahun. Namun tidak mustahil dengan kuasa Allah, rumah yang dibina boleh mencapai tahap maksimum dalam 3 tahun sahaja bahkan mungkin dalam 2 tahun. Segalanya berkemungkinan. Dengan usaha yang betul, kita berdoa dan bertawakkal. Tiada yang mustahil jika Allah berkehendakkan. InsyaAllah.
Zahirudin Salehuddin
Pengarah Urusan Mecten