Assalamualaikum
Selamat menyambut Ramadhan al Mubarak. Petang tadi saya sempat singgah ke rumah burung Nilai bagi menukar suara. Suara perlu ditukar apabila kita melihat terdapat koloni-koloni burung yang baru yang terbang tetapi masih ragu-ragu untuk masuk ke rumah burung kita. Alhamdulillah, sewaktu masuk jam 3.30 tadi kelihatan burung-burung walit sedang terbang mundar-mandir di dalamnya.
Walit atau walet dalam panggilan bahasa indonesianya, merupakan anugerah dari Allah swt kepada kita. Di Malaysia burung walit ini begitu banyak di persekitaran kita. Cuma kita tidak sedar kehadirannya. Ianya hanya ada di Asia Tenggara. Seperti semua sedia maklum di Indonesia ianya tidak lagi sama seperti di Malaysia. Di sana industri ini sangat maju. Jika di Malaysia, kita buat pinjaman rumah untuk kita duduki, tetapi di sana kita buat pinjaman rumah tetapi untuk diduduki oleh burung-burung walit. Pelikkan? Tetapi itulah realitinya.
Pernah saya bertanya pada seorang sifu berbangsa Cina. Saya bertanya benarkah burung walit ini betul-betul boleh buat wang atau sekadar retorik semata-mata. Waktu itu saya baru-baru ingin berjinak dengan bisnes ini. Jawapannya amat mudah. Katanya jika sesuatu bisnes itu mahu dilihat menguntungkan atau tidak, cuba lihat orang-orang Cina. Jika orang-orang Cina merasakan bisnes walit ini merugikan mengapa semakin tahun bertambah semakin banyak orang Cina buat rumah burung? Ada yang menganggarkan jumlah rumah burung di Malaysia sudah pun mencapai 200 ribu buah. Malaysia masih lagi mengeluarkan 7% sarang burung bagi pasaran dunia.
Potensi pasaran, setakat ini dunia kekurangan 70% sarang burung. Ini kerana, sarang burung merupakan makanan perubatan yang diamalkan oleh orang-orang Cina. Pasaran yang diperlukan adalah datangnya dari China, Taiwan, Hong Kong, Arab, USA dan terkini Malaysia sendiri sudah mempunyai pengeluar produk kopi sarang burung, kolagen Sarang Burung, produk kecantikan dan sebagainya. Sebagai seorang Islam, seharusnya kita bersyukur dengan anugerah dari Allah ini. Tanpa perlu kita beri makan dan minum, serta ubat, mereka mampu memberikan pendapatan yang tidak dapat kita bayangkan. Tanah yang gersang dan tidak subur boleh kita bangunkan. Pendapatan yang ada dapat kita kongsikan. Cuma ianya perlukan teknik pembinaan yang betul. Jika semua yang kita lakukan ini tepat dengan caranya, insyaAllah kita akan mendapat pulangan yang sepatutnya.
Azmir Affendi
CEO MECTEN GROUP