Kesan najis burung begini adalah petanda bahawa burung sudah mula tidur dan menjadikan rumah tersebut rumah mereka sehingga mereka mati.
Sarang burung yang mula kelihatan di rumah burung Teluk Intan.
Assalamualaikum
Rumah burung di Malaysia sudah mencecah 46 ribu buah. Tidak dapat saya nak memastikan adakah ianya satu jumlah yang tepat. Di Setiawan pula dikatakan terdapat 800 buah rumah burung. Di situlah tempat pusat rumah burung paling besar di Malaysia. Disebabkan jumlah rumah burung yang banyak telah menyebabkan begitu banyak burung walit membiak.
Maka tidaklah menghairankan kita jika di Perak Tengah seperti Bota, Parit, Layang-Layang, Kg Gajah dan yang berhampiran dengannya jumlah burung walit cukup banyak. Namun burung walit yang banyak belum tentu menjanjikan rumah burung yang dibina akan dimasuki burung walit jika pembinaannya tidak betul.
Baru-baru ini saya bertemu beberapa pengusaha rumah burung walit yang mana mengakui rumah burung mereka tidak dimasuki burung walaupun dibina 3 ke 5 tingkat tingginya. Malah ada pengusaha rumah burung walit ini sudah menunggu sehingga 6 ke 7 tahun. MasyaAllah. Berat sungguh bebanan dan cubaan yang mereka terima.
Namun begitu kami bersyukur ke hadrat Allah rumah burung yang dibina oleh kami walaupun baru mencecah beberapa bulan sudah ada burung yang tidur walaupun hanya setingkat. Terdapat beberapa perkara yang boleh kita ambil tahu jika rumah burung tidak dimasuki burung walit. Kita perlu ketahui satu petua yang mudah untuk melihat rumah burung yang dibina betul atau tidak iaitu jika dalam tempoh 6 bulan belum ada tanda burung walit sudah tidur di dalamnya maka rumah burung tersebut terdapat kesilapan di dalam pembinaannya.
Antara kesilapan yang berlaku ialah:
1) Keadaan dalaman yang tidak selesa bagi burung untuk terbang dan berpusing-pusing di dalamnya. Saiz minima yang sesuai bagi rumah burung ini ialah 20 kaki x 60 kaki. Jika saiz dibuat kecl dari ukuran ini, risiko untuk gagal cukup tinggi.
2) Keadaan suhu puncak sejuk dan puncak panas. Puncak sejuk perlulah sekitar 26 darjah celcius dan puncak panas perlulah tidak melebihi 30 darjah (+-2darjah).
3) Kesesuaian suara burung yang dipasang perlulah sesuai. Suara burung yang menekan dan tidak natural hanya akan menghalau burung-burung dari menghampiri rumah burung. Jangan beli suara burung yang terlalu murah. Biasanya suara burung yang baik berharga sekitar RM 500 ke 1500 satu suara.
4) Pemangsa yang berada di luar dan di dalam rumah seperti burung hantu, tikus, cicak, biawak, lipas dan lain-lain.
5) Kecerahan yang tinggi di dalam rumah burung.
6) Pintu masuk yang tidak betul seperti arah yang salah, sudut terjunan yang tidak menepati darjah terbangan burung-burung tersebut.
7) Tiada bau yang sesuai untuk menarik burung-burung ini untuk memberitahu kepada mereka rumah tersebut kononnya sudah dihuni koloni mereka.
8) Papan untuk mereka bergayut dan mencangkuk tidak sesuai.
9) Kekerapan keluar masuk orang di dalamnya.
Dan banyak lagi untuk diperbincangkan. Kerana itulah apabila sesebuah rumah yang silap dibina akan mengundang kerugian dan kos baik pulih jika ingin dilakukan oleh orang-orang yang pakar agak mahal. Namun jika tidak di baik pulih pengusaha akan lebih rugi. Pesanan kami berhati-hati dengan mereka yang mengaku pakar. Pastikan dahulu latar belakang mereka. Ada juga kontraktor yang mengaku buat sendiri tetapi apabila diberi peluang kerja, mereka akan beri pula pada "pakar yang sebenar". Akhirnya jika rumah burung yang dibina tidak dimasuki burung mereka-mereka ini tidak mahu bertanggungjawab. Bukan kerana mereka tidak mahu, tetapi kerana mereka tidak tahu.
Zahirudin Salehuddin
Pengarah Urusan Mecten